Gabungan
Persatuan Penulis Nasional (GAPENA) telah ditubuhkan pada 23 Oktober 1970 di
Dewan Bahasa dan Pustaka, Kuala Lumpur. Penubuhan organisasi ini hasil daripada
perkembangan persatuan-persatuan penulis diperingkat negeri. Setelah mencapai
kemerdekaan Malaysia, para penulis giat menubuhkan persatuan penulis bagi
negeri masing-masing. Di Kuala Lumpur, penulis-penulis yang pernah menyertai
ASAS 50 di Singapura telah menubuhkan Persatuan Penulis Nasional (PENA). Namun
demikian, PENA yang berpusat di Kuala Lumpur ini tidak dapat untuk mewakili
persatuan-persatuan penulis seluruh Malaysia yang wujud ketika itu.
Atas desakan daripada
persatuan-persatuan penulis, PENA telah mengundang badan-badan penulis ke suatu
pertemuan di Dewan Bahasa dan Pustaka pada 20 September 1969. 13 buah persatuan
telah menghantar wakil dan baki empat lagi badan menyatakan sokongan. Sejurus
dengan pertemuan itu, satu jawatankuasa dibentuk untuk merealisasikan hasrat
untuk menubuhkan gabungan persatuan penulis. Ahli jawatankuasa tersebut
dianggotai oleh A. Bakar Hamid, Usman Awang, Prof. Mohd Taib, Baharuddin
Zainal, Md. Yusuf Harun. Mereka telah diberi amanah untuk menggubal
perlembagaan persatuan yang dicadangkan itu.
Pada 23 Oktober 1970, PENA telah mengundang
persatuan-persatuan penulis ke pertemuan untuk menubuhkan Gabungan Persatuan
Penulis Nasional Malaysia (GAPENA). Penubuhan GAPENA ini telah disokong oleh 12
daripada 13 persatuan penulis yang hadir pada pemilihan tersebut. Di samping
itu, mesyuarat yang dipengerusikan oleh Usman Awang telah melantik ahli
jawatankuasa kerja bagi GAPENA yang terdiri daripada Drs. Ismail Hussein, Keris
Mas, Ismail Dahaman, Ahmad Sebi Abu Bakar, Saleh Daud, Atondra, Zakry Abadi,
Zam Ismail, dan Kemala.
Kini perjalanan hayat GAPENA telah
menempuh waktu lebih empat dekad. Pelbagai cabaran, rintangan, dan kejayaan
telah dilalui dar diraih. Semenjak penubuhannya, GAPENA telah diketuai oleh Tan
Sri Ismail Hussein, Datuk Wira Dr. Abdul Latiff Abu Bakar dan kini diterajui
pula oleh Datuk Zainal Abdin Borhan
sejak Mesyuarat Agung GAPENA yang ke- 45. Diharapkan legasi kepimpinan
Tan Sri Ismail Hussein yang berkaitan dengan Dunia Melayu akan diteruskan dalam
misi “Mengangkat Martabat Tamadun Bangsa.”
KEPIMPINAN GAPENA
KETUA SATU GAPENA
YBHG TAN SRI PROFESOR EMERITUS
DATO’ PENDITA (DR) HAJI ISMAIL
HUSSEIN
( 1970-2012)
YBHG TAN SRI
DR. ABDUL LATIFF BIN ABU BAKAR
(2012-2016)
YBHG DATUK HAJI ZAINAL ABIDIN DATUK WIRA BORHAN
(2016 - HINGGA KINI)