Kepimpinan GAPENA
TAN
SRI PROFESOR EMERITUS DATO’ PENDITA DR. ISMAIL HUSSEIN
(1970
- 2012)
Tan Sri Profesor Emeritus Dato’ Pendita Dr. Ismail Hussein dilahirkan pada 30 Januari 1932 di Kampung Sungai Limau Dalam, Yan, Kedah. Bapanya, seorang pedagang kecil, abangnya Datuk Abdullah menjadi pengarang dan diangkat sebagai Sasterawan Negara, manakala adiknya Dato’ Ibrahim sebagai pelukis antarabangsa.
Beliau telah mendirikan rumah tangganya dengan Puan Sri Rogayah Abdul Rashid pada tahun 1964 dan dikurniakan empat orang cahaya mata.
Beliau mendapat pendidikan awal di sekolah Melayu, Sungai Limau Dalam (1938-1946) dan kemudiannya di Sekolah St. Micheal, Alor Setar, Kedah (1947). Beliau tidak lama bersekolah di St. Micheal kerana beliau ditawarkan untuk melanjutkan pelajaran ke Maktab Sultan Abdul Hamid, Alor Setar, Kedah. Pada tahun 1955, beliau telah ditawarkan untuk melanjutkan pelajaran ke Universiti Malaya, Singapura dalam bidang Kesusasteraan Melayu. Beliau berjaya mendapat BA. (Hons) Kelas Pertama pada tahun 1959.
Beliau mula berkhidmat sebagai pengajar (tutor) dan dalam masa yang sama, melanjutkan pelajaran bagi Ijazah Sarjana di Universiti Malaya. Pada tahun 1961, beliau telah berjaya memperoleh Ijazah Sarjana melalui penyelidikan teks Hikayat Johor. Pada tahun 1961 hingga 1964, beliau melanjutkan pelajaran pada peringkat Doktor Randass (Drs.) disebabkan Universiti Belanda tidak mengiktiraf kelulusan Ijazah Sarjana beliau di Universiti Malaya. Pada tahun 1964, beliau berpeluang mengikuti kursus di Summer School of Linguistics Indiana University.
Kecemerlangan beliau dalam bidang akademik membolehkan beliau dilantik sebagai pembantu kepada A. Teeuw di Universiti Leiden (1962-1964) sewaktu mendalami ilmu sastera. Kemudian, beliau dilantik sebagai pensyarah (1965-1966) serta Timbalan Dekan Fakulti Sastera Universiti Malaya. Selain itu, beliau telah dilantik untuk memegang kursi Profesor Kesusasteraan Di Jabatan Pengajian Melayu (1971-1987), Ketua Jabatan Pengajian Melayu, Universiti Malaya (1976-1980) serta Pengarah Institut Bahasa Kesusasteraan dan Kebudayaan Melayu (IBKKM), Universiti Kebangsaan Malaysia (1987-1993).
Beliau aktif dalam GAPENA, iaitu dilantik menjadi Ketua Satu GAPENA sejak ditubuhkan lagi pada 23 Oktober 1970. Beliau juga merupakan profesor Kesusasteraan Melayu yang aktif menghasilkan buku-buku kajian yang berkaitan dengan penulis dan kesusasteraan Melayu selepas merdeka.
Beliau diberi kepercayaan menjadi anggota Lembaga Pengelola Dewan Bahasa dan Pustaka (Pengerusi Jabatan Penerbitan) sejak 1969 hingga 1994, anggota Panel Anugerah Sastera sejak penubuhan pada tahun 1980, anggota Majlis Penasihat Kebangsaan Berkenaan Kebudayaan (Pengerusi jawatankuasa Bahasa dan Sastera), anggota Majlis Kemajuan Buku Kebangsaan Malaysia, wakil pengerusi Majlis Penasihat Kebudayaan Sekolah –sekolah Malaysia (Pengerusi Jawatankuasa Pelaksana), anggota Jawatankuasa Pelajaran MARA, anggota Biro Kebudayaan UMNO (1984-1987), anggota Jawatankuasa Syarahan Tun Seri Lanang, anggota Jawatankuasa Pemilihan SEA Write Award, anggota Lembaga Pengarah Teater Suasana Sdn. Bhd serta Komirasis Royal Institute for Linguistics and Anthropology, Netherlands.
Beliau juga dilantik sebagai Presiden GAPENA sejak tahun 1968, Pengarah Sekretariat Dunia Melayu Antarabangsa sejak 1994, Timbalan Pengerusi Sekretariat Dunia Melayu Dunia Islam di Melaka, Penasihat Mengenai Kebudayaan Kementerian Kebudayaan, Kesenian dan Pelancongan Malaysia (2002-2004) serta Pengerusi Jawatankuasa Comparative Study on Southast Asian Novels, Asean Studies Program Singapore.
Selain itu, beliau juga dilantik sebagai Pengarah ATMA, Universiti Kebangsaan Malaysia (dulu IBKKM) pada tahun 1987 hingga 1994. Antara jawatan lain yang pernah disandang oleh beliau, ialah Panel Penasihat Pertemuan Sasterawan Nusantara V (1986), Panel Penasihat Hari Puisi Nasional, Panel Anugerah Sastera Negara, Panel Penasihat Dialog Borneo serta Jawatankuasa Sistem Ejaan Nasional.
Beliau juga menyumbang bakti sebagai ahli jawatankuasa Penyusunan Semula Fakulti Sastera dan Sains Sosial serta Jawatankuasa Penamaan dan Menamakan Semula Jalan-Jalan dan Kawasan Perumahan Wilayah Persekutuan (1974 hingga 1983). Selain itu, beliau banyak menyumbang kepakaran dan khidmat bakti beliau dalam bidang bahasa, sastera dan budaya.
Pada tahun 1980, beliau dianugerahkan Darjah Setia Diraja Kedah oleh KDYMM Sultan Kedah Darul Aman, Ijazah Kehormat Doctor Honoris Causa oleh Universitas Indonesia (1984), gelaran Pendita oleh Simposium Dunia Melayu 1985 di Sri Lanka, darjah Panglima Setia Mahkota bagi gelaran “Tan Sri” oleh DYMM Yang Dipertuan Agong (1993), anugerah Doctor Honoris Causa daripada Universiti Madagaskar (1997) serta anugerah Profesor Emeritus oleh Universiti Malaya pada tahun 1997.
Beliau juga mendapat anugerah bintang Datok Dharma Wangsa dari Istana Maimoon Medan serta gelaran Seri Wira Cendekia Mulia Kedah Darul Aman oleh DYMM Sultan Kedah pada tahun 2002. Pada 16 April 2004, beliau mendapat pengiktirafan Ijazah Kehormat daripada Universiti Soka, Jepun bagi menghargai usaha-usaha beliau dalam bidang kebudayaan. Pada 26 Ogos 2004, beliau menerima Anugerah Budaya Meukuta Alam daripada Gabenor Aceh sebagai pengiktirafan untuk beliau yang memperjuangkan serta merealisasikan impian Dunia Melayu.
Beliau meninggal dunia pada 20 Oktober 2014 ketika berusia 82 tahun kerana
sakit tua.
TAN SRI PROF. DATUK WIRA DR. ABDUL
LATIFF ABU BAKAR
(2012 - 2016)
Dilahirkan pada 1 November 1952 di Kampung Bandar
Hilir, Melaka, Tan Sri Abdul Latiff bin Abu Bakar merupakan tokoh budaya,
akademik, bekas pemimpin politik dan belia yang aktif dan komited. Mendapat
pendidikan awal di Sekolah Kebangsaan Ujong Pasir dari tahun 1959 hingga 1964
dan meneruskan pelajaran menengahnya di Sekolah Menengah Tun Mutahir, Batu
Berendam (dahulu dikenali sebagai Anglo Chinese School) pada tahun 1965 hingga
1967. Setelah lulus Sijil Rendah Pelajaran Malaysia pada tahun 1967, beliau
meneruskan pelajaran di Sekolah Menengah Munshi Abdullah, Batu Berendam pada
tahun 1968 hingga 1971.
Memperolehi kelulusan baik dalam Sijil Tinggi
Persekolahan Malaysia pada tahun 1971, beliau melanjutkan pelajaran di
Universiti Malaya dan menerima ljazah Sarjana Muda Sastera (dengan kepujian)
pada tahun 1975. Seterusnva, meneruskan pengajian ke peringkat Sarjana pada
tahun 1980 hingga tahun 1997, beliau dianugerahkan ljazah Doktor Falsafah.
Tan Sri Abdul Latiff memulakan kerjaya di
Universiti Malaya sebagai tutor di Jabatan Sejarah pada tahun 1975 hingga 1980.
Kemudian menjadi Pensyarah Rancangan Penulisan Kreatif dan Deskriptif, Jabatan
Pengajian Melayu (1980-1987);
Profesor Madya di Jabatan Pengajian Media (1989),
Ketua Jabatan Penulisan (1987-1991) dan Ketua Jabatan Pengajian Media
(1997-2001), kemudian dilantik sebagai Profesor pada 12 Oktober 2001.
Beliau juga pernah bergiat aktif dalam bidang
politik dengan menjadi Ketua UMNO Cawangan Bandar Hili, Melaka pada 1982 hingga
1987, Ahli Jawatankuasa Pergerakan Pemuda UMNO bahagish Kota Melaka
(1984-1986), Setiausaha Biro Kebudavaan Pemuda UMNO Malaysia serta Ahli
Jawatankuasa Kerja Biro Kebudayaan dan Pendidikan UMNO Malaysia (1984-1988).
Selain turut berminat dalam kerjaya sukarela sama ada di peringkat kebangsaan
atau negeri Melaka. Antaranya, menyertai Pertubuhan Lembaga Bahasa Melayu
Melaka seiak tahun 1970an sehingga kini. Beliau dilantik sebagai Ketua Dua
Gabungan Persatuan Penulis Nasional Malaysia (GAPENA) sejak tahun 1990.
Dilantik sebagai Ketua Satu GAPENA bermula pada tahun 2012 hingan tahun
2016.
Tan Sri Abdul Latiff, malah merupakan tenaga
penting dalam pelbagal aktiviti yang dianjurkan oleh Pergerakan Belia MAYC
Kebangsaan dan pernah dipilih menjadi Naib Pengerusi MAdE.Negeri Melaka dari
tahun 1993 hingga 1998.
Seiak tahun 1980an, beliau dilantik oleh Kerajaan
Negeri Melaka sebagai Ahli Lembaga Perbadanan Muzium Melaka, Ahli Lembaga
Pengarah, Perbadanan Perpustakaan Melaka dan Ahli Lembaga Pengarah, Institut
Kailan Sejarah dan Patriotisme Malaysia serta Pengerusi, Institut Seni Malaysia
Melaka (2000). Malah beliau juga diberi kepercayaan oleh Kerajaan Negeri Melaka
untuk merancang dan membina konsep Melaka Bandaraya Bersejarah Negeri Berbudaya
pada tahun 1995.
Bagi mengenang jasa dan sumbangan beliau, Kerajaan
Negeri Melaka telah menganugerahkan Bintang Cemerlang Melaka (BCM) pada tahun
1993 dan Darjah Mulia Seri Melaka (DMSM) yang membawa gelaran Datuk pada tahun
1995.
Tokoh Majlis Pengkisahan Sejarah Media Massa
'Media-Pemangkin Kemerdekaan’, 16 Ogos 2007, Arkib Negara Malaysia.
YBHG. DATUK HAJI ZAINAL ABIDIN BIN
DATUK WIRA HAJI BORHAN.
(2016 - 2024)
Seorang bekas staf akademik Akademi Pengajian Melayu, Universiti Malaya yang mula berkhidmat sebagai Tutor pada 1977 dan kini bersara selepas berkhidmat selama 34 tahun bersama Universiti Malaya. Selain sebagai bekas Profesor Madya, juga bekas Pengarah di Akademi Pengajian Melayu (2006-2011).
Lahir pada 13 Disember 1953, menerima pendidikan awal bermula di Melaka, di Tranquerah English School, Gajah Berang Secondary School, kemudian ke Malay College Kuala Kangsar dan akhirnya di Jabatan Pengajian Melayu, Universiti Malaya pada peringkat Sarjana Muda dan Sarjana. Bidang pengajian dan penyelidikan semasa berkhidmat sebagai ahli akademik ialah mengenai kebudayaan dan tamadun Melayu, meliputi persoalan adat Melayu, kosmologi Melayu, pemikiran Melayu, politik Melayu, Dasar Kebudayaan Kebangsaan, agama dan kepercayaan Melayu dan Budaya Orang Asli serta Orang Laut.
Di antara penerbitan dan
suntingan beliau, Ideologi dan Kebudayaan
Kebangsaan (1986), Johor Dahulu dan Sekarang (1994), Adat
Istiadat Melayu Melaka (1996), Warisan Persuratan
Johor (1997), Pengajian Sastera dan Sosio-Budaya Melayu, Memasuki
Alaf Baru (1998), Warisan Persuratan Johor, Perundangan dan
Ketatanegaraan (1999), Kerana Mu Malaysia: Kemerdekaan, Pembinaan
Bangsa dan Cabaran Abad ke 21 (2001), Pantun Warisan
Rakyat (2008) dan Abdul Ghani Othman: Pembangunan Holistik; Dimensi
Kebudayaan (2008), Prosiding Seminar Antarabangsa Tenun Nusantara:
Kesinambungan Tradisi dan Budaya (2009), Prosiding Persidangan
Antarabangsa Bahasa Melayu Bahasa Dunia (2009) dan Prosiding Gagasan
Satu Malaysia: Kesinambungan Satu Perjuangan (2009). Penerima anugerah dan
sijil khidmat cemerlang di Universiti Malaya sebanyak enam kali pada tahun
1993, 1996, 1998, 2000, 2002 dan 2006.
Sering diundang ke forum dan seminar oleh
Kementerian kebudayaan dan Pelancongan, Kementerian Penerangan, DBP, Arkib
Negara, Yayasan Warisan Johor, Perbadanan Muzium Melaka, Institut Kajian
Sejarah dan Patriotisme Malaysia (IKSEP), Institusi Seni Melaka Malaysia
(ISMMA), Muzium Negeri Pahang, Institusi Integriti Malaysia, Universiti Utara
Malaysia, Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) dan lain-lain. Di peringkat
serantau dan Alam Melayu, sering membentang kertas kerja di Riau, Acheh,
Sumatera Utara, Pontianak, Jakarta, Bandung, Pattani, Yala, Mindanao, Sri Lanka
Cape Town dan Madagaskar, Beijing lantaran aktif dalam gerakan dan perjuangan
kebudayaan kerana beliau merupakan Setiausaha I Gabungan Persatuan Penulis
Nasional Malaysia (GAPENA). Menerima Bintang Kelakuan Terpuji (BKT) pada 1996
dan Darjah Seri Melaka (DSM) pada 2003 dan Darjah Mulia Seri Melaka (DMSM) pada
2005.
Mulai 15 Disember 2011 dilantik sebagai Ketua Eksekutif, Yayasan Karyawan. Yayasan Karyawan ialah sebuah organisasi nir-laba (non-profit) yang menerbitkan Karya Agung Melayu. Dilantik sebagai panel penasihat dan salah seorang penulis projek penerbitan Empayar Johor, dan panel penilai Sayembara Penulisan Novel Sejarah Johor oleh Yayasan Warisan Johor. Telah dilantik sebagai penilai program Akademi Pengajian Brunei, Universiti Brunei Darussalam (2010-2012).
No comments:
Post a Comment