23 OKTOBER 2023 - GAPENA GENAP 53 TAHUN
SAYEMBARA DEKLAMASI PUISI KEMERDEKAAN KE-31, 2017 PERINGKAT KEBANGSAAN
KUALA LUMPUR, 7 OKTOBER 2017 – Gabungan Persatuan Penulis Nasional Malaysia (GAPENA) bersama Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) menganjurkan Sayembara Deklamasi Puisi Kemerdekaan (SPDK), Peringkat Kebangsaan bagi kali ke-31, tahun 2017 pada 7 Oktober (Sabtu) jam 3 petang bertempat di Auditorium Dewan Bahasa dan Pustaka, Kuala Lumpur.
Sayembara Deklamasi Puisi Kemerdekaan (SDPK) ke 31 yang dianjurkan setiap tahun sejak 1987 ini bakal menyaksikan 19 peserta yang mewakili negeri-negeri termasuk Institut Pengajian Tinggi Awam (IPTA), Angkatan Tentera Malaysia (ATM), Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan Institut Pendidikan Guru Malaysia (IPGM) yang telah bertanding di peringkat negeri dan institusi masing-masing bermula 2 September dan berakhir 29 September 2017 lalu.
Institut Pendidikan Guru Malaysia (IPGM) dan PDRM sekadar menghantar wakil mereka bagi sayembara tahun ini bagi melengkapkan 19 peserta bertanding bagi merebut Piala Pusingan Yang Amat Berhormat Dato' Seri Dr. Ahmad Zahid Bin Hamidi, Timbalan Perdana Menteri Malaysia. Piala Pusingan kedua ini digantikan dengan Piala Pusingan Yang Berhormat Tun Ghaffar Baba, Mantan Timbalan Perdana Menteri Malaysia yang sudah 30 tahun digunakan sebagai Piala Pusingan Sayembara Deklamasi Puisi Kemerdekaan yang menjadikan rebutan para deklamator selama ini.
Sayembara tahun ini menampilkan seramai 11 orang peserta atau muka baru ke peringkat kebangsaan yang terdiri daripada Wan Muhammad Hanif Bin Wan Abd Hamid (Perlis), Noor Azli Bin Sudin (Perak), Md Muzaini Said (Melaka), Nur Husnina Bt.Yusof (Kelantan), Mohd Shareezad Abdul Satad (Terengganu), Dayangku Afizah Abdul Latif (Sabah), Mohd Nor Saizaly Kok (Wilayah Persekutuan Labuan), Mohd Redzwan Bin Abdul Majid (Sarawak), Staf Sarjan (Yos) Marzelan Bin Md Jusoh (ATM), Wan Fatimah Wan Abdullah (IPTA) dan Nurlyana Bt Ezani (IPGM). Manakala deklamator-deklamator yang merupakan peserta lama ialah SM Mohd Yusof Ramji (PDRM), Zaheera Ibrahim (Kedah), Noorfaizatul Hanim Mohd Nor (Pulau Pinang), Mohamad Fairul Bin Rashid (Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur), Nur Sharina Cik Ibrahim (Selangor), Mohd Fazreen Bin Mohd (Negeri Sembilan), Shahrul Nizam Mohd Aman (Johor) dan Mat Nordin Bin Mat Salleh (Pahang).
Majlis Penyampaian Hadiah akan disempurnakan oleh Yang Berhormat Datuk Seri Johari Bin Abdul Ghani, Menteri Kewangan II, Kementerian Kewangan Malaysia. Johan SDPK 2017 akan membawa pulang Piala Pusingan Yang Amat Berhormat Dato' Seri Dr. Ahmad Zahid Bin Hamidi, Timbalan Perdana Menteri Malaysia bersama wang tunai RM5,000.00, hadiah iringan dan sijil penyertaan. Naib Johan menerima wang tunai RM3,000.00, hadiah iringan dan sijil penyertaan, tempat ketiga menerima wang tunai RM2,000.00, hadiah iringan dan sijil penyertaan manakala saguhati akan menerima wang tunai RM300.00, hadiah iringan dan sijil penyertaan.
Para peserta akan mendeklamasikan puisi-puisi yang dipilih oleh Jawatankuasa Penganjur daripada Antologi Puisi Lentera Zaman terbitan GAPENA.
Kepada semua peminat seni dan sastera tanahair dan orang ramai adalah dijemput
hadir pada kedua-dua malam tersebut. Beberapa persembahan menarik turut juga
akan disajikan sebagai selingan pertandingan. Masuk adalah percuma.